Isnin, 1 April 2013

Bolehkah Bergurau Atau Berlawak Dalam Islam?


April Fool, atau hari lawak berjenaka memang popular bukan saja di negara Barat, malah makin mula menular dalam kalangan masyarakat khususnya yang beragama Islam. Ya, Islam tak pernah melarang untuk bergurau senda atau bergelak ketawa tetapi ianya tidak boleh secara keterlaluan atau melampaui batas sehingga boleh menjatuhkan maruah seseorang. Apatah lagi melangkaui batasan pergaulan lelaki dan perempuan bukan mahram. 

Dalam bergurau, kita juga tak dibenarkan menggunakan sesuatu kebohongan untuk dijadikan sebagai suatu guraun. Sabda Rasullullah S.A.W. :

“Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.” 
-H.R. Ahmad dan Ad-Darimi-

“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” 
-H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan An-Nasai’e-

Dan Abu Hurairah RA berkata yang maksudnya: 
“Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?  Rasulullah SAW menjawab: Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.” 
-Hadith riwayat Tirmidzi-

Oleh sebab itu, dalam bergurau senda atau melawak, kita perlulah bersederhana dan timbanglah balik atas sebab apa kita bergurau senda.

Lihatlah bagaimana gurauan-gurauan Rasulullah SAW:

1- Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepadanya yang maksudnya:
  “Wahai pemilik dua telinga.”  
-Hadith Riwayat Tirmidzi dan Abu Dawud-
Rasulullah memanggil Anas begitu kerana Anas merupakan seorang pendengar yang baik.  Ketika itu Rasulullah SAW sedang bergurau dengan Anas.

2- Anas bin Malik berkata yang maksudnya: 
“Rasulullah SAW bergaul rapat dengan kami, sehingga Baginda pernah berkata kepada adikku yang masih kecil dengan berkata: Wahai Abu `Umair, apakah yang sedang dilakukan oleh nughair 
(sejenis burung yang berparuh merah)?”  
-Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Tirmidzi-

3- Abu Hurairah RA berkata yang maksudnya:
 “Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?  Rasulullah SAW menjawab: Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.” 
-Hadith riwayat Tirmidzi-

4- Anas bin Malik berkata yang maksudnya: 
“Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah SAW supaya dibawa menaiki tunggangan.  Rasulullah SAW berkata kepada lelaki itu, Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.  Lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?  Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW, bukankah semua unta adalah anak kepada unta betina?”  
-Hadith Riwayat Tirmidzi dan Abu Dawud-

5-Anas bin Malik melaporkan yang maksudnya:

Ada seorang lelaki dari kampung yang bernama Zahiran.  Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah SAW dan membawa hadiah dari kampungnya.  Apabila beliau pulang, Rasulullah SAW memberikan kepadanya  bekalan.  Rasulullah SAW pernah bersabda: “Zahiran adalah kampung untuk kita dan kita adalah kota untuknya.”

Rasulullah SAW sangat suka  kepada Zahiran walaupun Zahiran itu tidak mempunyai wajah yang menarik.  Pada suatu hari, Rasulullah SAW pergi bertemu dengan Zahiran ketika beliau sedang menjalankan perniagaannya. Tiba-tiba, Rasulullah SAW memeluk Zahiran dari belakang. Zahiran tidak dapat melihat siapakah orang yang memeluknya dari belakang itu.  Beliau berkata, “Siapakah ini?  Lepaskanlah aku!”

Beliau lalu menoleh dan mengetahui rupa-rupanya Rasulullah SAW yang berada di belakangnya.  Tanpa membuang masa, Zahiran merapatkan lagi badannya dengan dada Rasulullah SAW bagi meraih keberkatan.

Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah yang mahu membeli hamba sahaya ini?”  Zahiran membalas, “Wahai Rasulullah, demi Allah, saya ini tidak laku.”  Jawab Rasulullah SAW: “Tetapi di sisi Allah, kamu bukan tidak laku.”  Atau “Tetapi di sisi ALLAH, kamu sangat berharga.”  

(Hadith Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

6- Hasan al-Basri berkata yang maksudnya: 
“Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada Allah agar aku dapat masuk ke Syurga. Rasulullah SAW menjawab: Wahai ibu, Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua. Mendengar jawapan Rasulullah SAW, wanita itu pergi dari situ sambil menangis teresak-esak.  Rasulullah SAW kemudian bersabda: Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke Syurga dengan keadaan usia tua.  Sesungguhnya ALLAH Ta`ala berfirman: Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya [Surah Al-Waqi’ah ayat 35-37]” 
-Hadith Riwayat Tirmidzi-

Jelas kepada kita bahawa jenaka Rasulullah SAW bukanlah sebuah jenaka yang bohong. Semuanya adalah kebenaran. Rasulullah SAW tidak melarang jenaka, namun dalam berjenaka juga ada akhlaknya.

Rasullulah S.A.W jugak melarang gurauan yang menakut-nakutkan. Rasulullah SAW bersabda:

Nu’man bin Basyir RA berkata: “Sesungguhnya, kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya, dan mengejutkan lelaki yang mengantuk itu, menyebabkan dia terperanjat.” Rasulullah SAW lantas bersabda: “Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.” 
-Hadith riwayat Thabrani-

Nabi SAW juga ada bersabda: “Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslamnya dengan niat melawak atau betul-betul.” 
-Hadith riwayat Ahmad-

Jadi di sini, sudah jelas cara bergurau yang bersesuaian dengan Islam dan kita tidak sepatutnya terikut-ikut dengan budaya bukan Islam yang jauh sekali terpincang dari amalan dan ajaran Rasullulah. Semoga apa yang ingin disampaikan disini dapat dimanfaatkan oleh semua, insyaAllah.




0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...