Khamis, 22 Mac 2012

Gigitan Hangat: Liyana Jasmay Kahwin Jan 2013


Liyana Jasmay
SETELAH sekian lama dikaitkan dengan kisah-kisah cinta sesama artis, pelakon genit Liyana Jasmay, 24, buat pertama kalinya membuat kenyataan akhbar mendedahkan tentang tarikh pertunangan dengan kekasih hatinya yang juga seorang ahli perniagaan bernama Fathuddin Mazlan, 28.

Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Castello itu pernah digosip mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Aizat Amdan.

Kemudian, dia dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof setelah sama-sama membintangi filem Khurafat pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua kisah tersebut berlalu begitu sahaja, sehinggalah pelakon yang ditemui semalam, pada majlis pelancaran drama berjudul 3 Janji di Sri Pentas TV3, Bandar Utama Petaling Jaya itu mengesahkan sendiri mengenai tarikh pertunangan dirinya.

"Pada 28 Mac ini satu majlis pertunangan akan diadakan di rumah saya dalam satu majlis yang agak ringkas. Sebenarnya, saya merancang untuk membuat majlis berkenaan di hotel supaya tidak menyusahkan ahli keluarga yang lain.

"Namun, perancangan tersebut tidak dipersetujui ayah saya dan dia meminta agar majlis pertunangan diadakan di rumah sahaja. Setakat ini segala persiapan berjalan lancar kerana saya turut dibantu oleh dua orang kakak saya," ujarnya.

Ditanya tentang detik perkenalan dengan kekasih hatinya itu, Liyana memberitahu jejaka yang telah menambat hatinya itu merupakan jirannya sendiri dan mereka berkenalan sewaktu bertemu dalam sebuah majlis.

Menurutnya, mereka berdua berkawan dan bercinta dalam tempoh yang cukup singkat iaitu kira-kira dua bulan sahaja dan pada bulan Januari lalu Fathuddin telah melamarnya untuk menjadi isteri.

"Apabila dia meluahkan hasrat untuk mengambil saya sebagai isteri, saya telah memintanya untuk pergi berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa saya. Tidak lama selepas itu dia telah membawa keluarganya berjumpa dengan keluarga saya dan hubungan kami menjadi semakin rapat.

"Walaupun ramai yang tertanya-tanya dengan keputusan yang saya buat ini, tetapi berdasarkan kepada pengalaman lalu saya rasa tidak perlu bercinta lama-lama. Kalau mahu menjalinkan hubungan serius, lebih baik terus masuk meminang sahaja supaya ikatan perhubungan itu lebih kukuh," ujarnya.

Mengenai keistimewaan yang dimiliki Fathuddin sehingga dia terbuka hati menerima lamaran jejaka tersebut, Liyana menyifatkan bakal tunangnya itu sebagai seorang lelaki yang kelakar, periang dan baik hati.

"Sejujurnya saya agak kurang menggemari lelaki yang mempunyai penampilan terlalu segak, tetapi itulah salah satu ciri yang dimiliki dirinya. Ternyata apa yang saya tidak gemar, akhirnya itulah yang akan menjadi milik saya.

"Sebenarnya ibu ada memberi nasihat supaya saya perlu terlebih dahulu mengenali hati budinya.

"Namun, apabila melihatkan usahanya yang begitu bersungguh-sungguh mengambil hati kedua-dua ibu bapa saya, secara tidak langsung ia turut menambat hati saya untuk menerima lamarannya," ujarnya.

Liyana Jasmay belum mahu mendedahkan kepada umum foto bakal tunangnya yang bernama Fathuddin itu, Liyana bagaimanapun mengakui Fathuddin merupakan seorang pemuda yang mempunyai penampilan yang agak segak. 

Mengenai tarikh perkahwinan yang bakal dilangsungkan pula, Liyana memberitahu dia merancang untuk berkahwin pada bulan Januari 2013 iaitu sebaik sahaja dia pulang dari New York, Amerika Syarikat.

"Kalau tiada sebarang halangan dan segala-galanya berjalan lancar, saya akan berangkat ke New York pada bulan Jun atau Julai ini untuk menjalani kursus jangka pendek di sebuah akademi filem di sana.

"Namun, saya mengambil keputusan untuk bertunang dengan segera bukanlah disebabkan saya akan pergi ke luar negara.

"Semasa menerima lamaran saya ada memberitahu bakal tunang tentang pemergian saya itu dan dia turut memberikan sokongan kerana faham dengan cita-cita saya dalam bidang seni," tuturnya.

New York Film Academy

Bercerita lebih lanjut tentang pemergiannya ke New York, Liyana menjelaskan dia sememangnya sudah lama merancang untuk menambahkan ilmu dalam bidang lakonan dengan menjalani kursus di luar negara.

Ujar Liyana, pada mulanya dia bercadang untuk pergi ke Australia sahaja, tetapi telah mengubah fikiran untuk menjalani kursus di New York Film Academy (NYFA) setelah dicadangkan oleh beberapa orang rakannya.

"Apabila saya memberitahu ayah tentang hasrat tersebut, ternyata dia kurang bersetuju kerana terlalu jauh. Bagaimanapun, akhirnya ayah telah bersetuju dan saya akan turut ditemani ibu sepanjang berada di sana.

"Apa yang membuatkan saya tertarik untuk menjalani kursus di NYFA adalah kerana ia merupakan sebuah akademi yang sangat terkenal memandangkan ramai pengarah hebat yang telah memberi ceramah dengan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka di situ, selain kemudahan yang disediakan NYFA juga sangat lengkap dan canggih," ujarnya.

Senyum Manis Tanda Ada Makna

Jelas Liyana lagi, sepanjang menuntut di akademi berkenaan, kursus yang akan dilaluinya nanti lebih kepada latihan praktikal berbanding teori serta menjurus kepada aspek-aspek lakonan dan pengarahan.

LIYANA terbuka hati untuk menerima lamaran Fathuddin impak daripada kesungguhan pemuda itu menambat hati kedua-dua ibu bapanya.

"Sudah tentu saya berasa sangat teruja untuk menjalani kursus di sana dan tidak terlalu risau kerana ibu akan turut menemani saya. Pada masa yang sama, saya juga ingin merasai pengalaman baharu dengan menjalani kehidupan dengan budaya yang berbeza," ujarnya.

Tiga telefilem

Biarpun bakal menjalani kursus jangka pendek selama enam bulan di luar negara, Liyana berkata syarikat produksi miliknya, Mermaid Studios masih tetap berfungsi seperti biasa.

Katanya, dia sudah pun mempunyai perancangan awal untuk menerbitkan sekurang-kurangnya tiga buah telefilem yang akan menjalani penggambaran di New York pada bulan Disember ini.

"Kalau perancangan ini mendapat persetujuan ayah, saya akan membawa kru produksi yang terbabit ke New York. Sekurang-kurangnya produk yang dihasilkan oleh syarikat saya akan dapat menampilkan beberapa perbezaan.

"Memandangkan kursus yang saya jalani nanti lebih kepada praktikal, saya akan mengambil kesempatan untuk menghasilkan beberapa buah filem pendek dengan menggunakan peralatan yang disediakan di akademi tersebut," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang aktiviti seninya ketika ini, pelakon berkenaan menyatakan ketika ini dia sedang menjalani penggambaran drama berjudul 3 Janji.

"Dalam tempoh tiga bulan sebelum berangkat ke luar negara, saya masih tetap berlakon seperti biasa. Pada masa yang sama, saya turut sibuk membuat persiapan perkahwinan dan kini sedang mencari dewan yang sesuai memandangkan ia perlu ditempah awal," ungkapnya. 

Sumber: Kosmo

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...